Sunday, March 30, 2014

NOVEL PROJEK MEMIKAT SUAMI

NOVEL PROJEK MEMIKAT SUAMI



Mulai hari itu, rutin Zahrain berubah. Tidak lagi makan tengahari dengan si supermodel. Sebaliknya makan tengahari di rumah dengan isteri. Sebenarnya, makan bukanlah aktiviti utama dia balik ke rumah setiap tengahari, fikir Zahrain sambil tersengih. Kondo di tengah ibu kota ini merupakan pelaburannya yang terbaik! Berbaloi sungguh.

Stafnya pun mula perasan. Kalau waktu lunch, tepat pukul satu, Bos sudah keluar dari pejabat. Pukul satu tepat! Tak kiralah, walau mesyuarat belum tamat atau walau perbincangan belum selesai.

Tengahari itu pun sama juga, pukul 1.10 tengahari, Zahrain sudah sampai di rumah. Terus ditujunya ke dapur sebab disitulah isterinya berada setiap tengahari apabila dia pulang makan. Sambil melangkah, dia membuka butang kemeja dan butang lengan kemeja. Lunch break kan satu jam sahaja! Senyum lebar hingga ke telinga.

Dia berhenti di pintu dapur, kehairanan, kerana tengahari ini, isterinya berbaju kurung kain kapas, berbunga kecil. Sudah lama dia tidak melihat isterinya berpakaian begitu. Mana baju seksinya seperti selalu?

Sambil menarik kemejanya keluar dari seluar dan melangkah ke arah Husna yang sedang mengacau lauk di atas dapur, dia bertanya, “Eh, kenapa pakai baju kurung hari ini?”

“Kami baru balik dari kelas mengaji,” suara lain pula yang menjawab! Bila Zahrain menoleh ke arah suara itu, alangkah terkejutnya dia melihat Mama sedang duduk di meja makan! Apa Mama buat di sini?!

Husna yang berdiri membelakangkan ibu mertuanya, terpaksa menahan ketawa sehingga terhinggut-hinggut bahu. Mana tidaknya, Zahrain yang terkejut melihat Mama, hampir terlompat ke atas kabinet dapur.

“Ha, yang kamu tu Zahrain, apa hal buka-buka baju ni?” tanya Puan Sri Maimun kehairanan.

Makin kuat bahu Husna terhinggut-hinggut mendengar soalan ibu mertuanya.

“Saya…err…..saya…err,” tergagap-gagap Zahrain tidak dapat menjawab. Tidak pernah Husna melihat suaminya kehilangan kata-kata.

Cepat-cepat Husna mengawal ketawanya, menutup api dapur dan berpusing memandang Mama. Kasihan pula melihat suaminya yang terkejut begitu.

“Abang memang begini, Mama. Kalau dia balik makan tengahari, dia mesti buka baju….” ayatnya dibiar tergantung, tidak bersambung. Puan Sri Maimun berkerut dahi kehairanan. Mata Zahrain semakin buntang, ish takkan isteri aku nak pecahkan rahsia? Dijegilnya mata ke arah Husna.

“….sebab dia takut nanti kemejanya berbau lauk.’

Phew! Nasib baik pandai juga isteri aku ini cover line, fikir Zahrain, sangat lega.

“Alah Zahrain, kalau berbau, pakai saja kemeja lain,” nasihat Puan Sri.

“Saya bukan apa, Ma, tak nak susahkan isteri kena basuh baju banyak-banyak,” jawab Zahrain sambil menjeling ke arah Husna.

Yo-yo-ohlah mamat ni. Tak nak isteri basuh baju banyaklah konon, fikir Husna mencebik bibir ke arah suaminya.

Zahrain mencerunkan matanya dan dan membuat aksi bagai mahu menggigit Husna. Bukan tidak disedari Puan Sri Maimun tapi dia sengaja berpura-pura membelek tablet yang baru dibelinya dengan Husna sebentar tadi. Bahagia hati seorang ibu melihat anak menantu hidup bahagia.

“Abang, di bilik laundry, ada T-shirt, nanti Una ambilkan,” kata Husna sambil melangkah ke bilik laundry bersebelahan dengan dapur.

Baru sahaja dia mahu mencapai T-shirt yang tergantung di ampaian, tangan Zahrain sudah melingkar di pinggangnya.

“Ketawakan saya tadi ya?” bisik Zahrain ke telinga Husna. Terburai ketawa Husna walaupun dia cuba menahan sedaya mungkin.

“Awak lucu sangat tadi, mana saya tak ketawa. Pucat muka awak ternampak Mama. Lain kali nak buka baju, tengok keliling-keliling dulu,” Husna masih lagi terkekeh-kekeh.

“Rumah saya, ikut sukalah saya nak buka baju ke, seluar ke,” jawab Zahrain. Yelah tu, belakang Mamanya bolehlah tunjuk taring.

“Ye ke?” bisik Husna sambil tangannya mencapai talipinggang seluar Zahrain serta berpura-pura mahu membukanya.

“Nawwal! Behave! Mama kat bilik sebelah tu,” terkejut Zahrain sekali lagi. Berdekah-dekah ketawa Husna kali ini, tidak mampu nak ditahan lagi.

“Oh, ada Mama, awak berani mengusik saya ye? Tunggulah malam ini,” gertak Zahrain.

“Oooo, I’m shaking in my boots,” Husna pura-pura menggigil ketakutan. Geram sungguh Zahrain melihat isterinya. Playful like a kitten! Tangannya sudah digapai ke arah Husna tetapi si anak kucing comel itu sudah melarikan diri ke dapur. Selamatlah dia buat sekarang, tapi malam ini, jagalah, senyum herot kucing jantan sudah keluar.

Selepas menyarungkan T-shirt ke badan, Zahrain melangkah semula ke dapur dan duduk di meja bersama Mamanya yang masih lagi membelek tablet barunya.

“Baru beli ke Mama?” tanya Zahrain bermanis mulut.

“Haah, Una belikan. Kalau nak tunggu anak-anak Mama, tak merasalah Mama pakai tablet,” sedikit sinis jawapan Puan Sri Mai.

“Una belikan tu samalah macam Abang yang belikan. Duit Una kan duit Abang,” Husna membela suaminya.

Terbit senyuman di bibir Zahrain, senang hati dengan komen Husna. Eh, baru perasan dia panggil aku Abang? Ah, berlakon depan Mama, rupanya. Namun semakin lebar senyuman di bibirnya.

“Yelah, duit suami kamu, Una. Tapi anak-anak Mama mana ada terfikir nak belikan Mama tablet supaya Mama senang nak baca al Quran? Dia orang ni mana pernah fikirkan Mama,” rajuk lama di hati Puan Sri Mai dikongsi dengan menantu baru.

“Mama, anak-anak Mama kan orang-orang korporat, sibuk. Una ni lainlah, duduk kat dapur aja, sampai naik boring, itu yang kacau Mama, ajak Mama pergi belajar mengaji bersama,” pujuk Husna.

“Eh, mana kacau Mama? Mama lagi suka Husna ajak pergi belajar mengaji dengan Ustazah Faizah tu. Boleh juga Mama betulkan bacaan Mama. Belajar mengaji ramai-ramai, Mama seganlah. Dah tua sebutan masih tak betul.”

“Tak apa Mama, kita dua orang jadi classmates. Bestlah jadi classmate Mama,” Husna yang sibuk menghidangkan makanan tengahari, tunduk dan memberikan ciuman di pipi Puan Sri Maimun. Bagaimana dia melayan Umminya, begitulah dia melayan Mama barunya.

Zahrain yang asyik mendengar bualan Mama dan isterinya terpegun melihat kemesraan mereka berdua. Zahra sendiri pun jarang mencium pipi Mama. Aku? Bila kali terakhir aku cium pipi Mama? Menantu baru ini pula yang manja dengan Mama. Manjanya pula bukan jenis yang dibuat-buat, nampak ikhlas sahaja. Tak macam……., tak macam Adira! Hmm, sekarang baru perasan, bisik hati Zahrain.

“Surah Al Mulk, surah nombor berapa Una? Tanya Puan Sri Maimun sambil membelek-belek program iQuran Pro di tabletnya.

“Enam puluh tujuh. Jumpa Mama?” jawab Husna sambil menyediakan salad untuk suaminya.

“Ha, ini baru jumpa. Macam manalah Mama nak hafal ni Una?”

“Kalau tiap-tiap hari lepas solat, kita baca, lama-lama mesti hafal, Mama,” Husna memberi petua kepada ibu mertuanya.

“Tentulah Una habis hafal dulu dari Mama,” kata Puan Sri Maimun, terasa segan juga dia dengan menantunya yang lebih arif mengenai ugama jika dibandingkan dengan dirinya.

“Tak apa, Ma, kita hafal sama-sama. Kalau hafal sama-sama, baru bersemangat sikit nak menghafalkan, Mama?” ujar Husna memberi semangat kepada ibu mertuanya.

“Hari apa kelas mengaji Mama?” tanya Zahrain, tersedar yang dia perlu memberikan lebih perhatian kepada ibunya.

“Selasa dan Khamis, kelas mengaji. Rabu, kelas tafseer,” terang Puan Sri Mai.

“You pergi gym, bila pula, Sayang?” Hampir terlepas pinggan ayam bakar yang dipegang Husna bila mendengar sang suami memanggilnya sayang.

“Tiap-tiap pagi. Balik gym, pergi kelas mengaji. Sebelah petang, jalankan projek Kak Naja dengan Pet, dua hari seminggu ke,” patuh Husna memberikan “hourly report” kepada suaminya. Boleh tahan sibuk isteri aku ni, fikir Zahrain.

“Projek apa, Una?” tanya Puan Sri. Haah, projek apa? Zahrain baru saja nak bertanya.

“Projek buku masakan, Mama. Kak Naja sediakan resipi, Una tukang masak, Pet ambil gambar cara masakan langkah demi langkah. Shooting kat studio kawan Pet, pinjam pinggan mangkuk periuk belanga Ummi,” dengan senyum lebar, Husna bercerita tentang projek mereka bertiga. Projek buat menghilang kebosanan dek hari-hari terperap dalam rumah.

Dalam diam-diam, dia ada projek besar, fikir Zahrain. Sedikit berkecil hati kerana dia tidak diberitahu.

“Buku masakan apa tu, Una?” tanya Puan Sri Mai lebih lanjut.

“Buku masakan makanan Malaysia, Mama. Untuk pasaran Eropah. Kak Naja nak buat dalam Bahasa Peranchis dulu, kalau menjadi, nak cetak dalam Bahasa Inggeris juga.”

“Kenapa Bahasa Peranchis? Bahasa di Prague, bahasa Peranchis ke?” soal Zahrain.

“Tak, di Prague, bahasanya bahasa Czech, tapi Kak Naja nak pasarkan buku ini di Peranchis. Sebelum berpindah ke Prague, Kak Naja sekeluarga tinggal di Bordeaux. Di sana dia mengajar kelas masakan Malaysia secara sambilan. Salah seorang pelajarnya ada syarikat penerbitan buku. Pelajar ini yang minta Kak Naja tulis buku masakan. Dia suka sangat masakan Malaysia,” panjang lebar Husna bercerita.

“Kenapa tidak minta penerbit buku tu saja yang sediakan foto masakan?” soal Zahrain lagi.

“Syarikat penerbitannya kecil saja. Kalau nak buat fotografi perlu cari krew segala. Nak senang, Kak Naja ajak kami saja buat projek. Pet pun suka, dia guna alasan projek ini untuk tidak balik ke Sabah. Kalau tidak, memang keluarga dia nak dia balik ke Sabah, kerja dengan keluarganya,” jelas Husna lagi.

“Pet tu pandai ambil gambar ke?” tanya Zahrain.

“He he, dia tu belajar untuk degree sekadar memenuhi kemahuan keluarga saja. Sambil-sambil tu dia ambil kursus photography sampai dapat diploma,” tersenyum Husna mengenangkan Pet yang sentiasa ada “agenda sendiri.”

Puan Sri Maimun yang sedari tadi membelek masakan ayam yang terhidang di atas meja bertanya, “Ayam masak apa ni, Una?”

“Masakan ini Una panggil ayam masak campak-campak,” jawab Husna sambil tersenyum nakal.

“Masak campak-campak?” tanya Puan Sri Maimun kehairanan.

“Haah, Ma, kalau nak cepat, perut dah lapar, inilah menunya. Maaf ya Ma, ringkas saja menu hari ini.”

“Tak apalah Una, dah kita singgah beli tablet tadi. Mama ajak makan kat luar, Una tak nak.”

“Abang hari-hari balik makan tengahari, Mama. Kalau kita makan di luar, nanti dia balik, apa pula dia nak makan.”

Amboi manjanya anak aku ni, Papa dia pun tak ada balik makan tengahari tiap-tiap hari. Sedap sangatkah masakan menantu aku ni? Hm, aku kat rumah pun asyik suruh Melah saja masak. Agaknya itu yang Papanya jarang balik tu, fikir Puan Sri Maimun.

“Abang, ini Caesar salad dengan ayam bakar,” kata Husna sambil meletakkan pinggan salad ke atas meja.

“Amboi, Una. Untuk suami ada menu istimewa ya?” usik ibu mertuanya.

“Abang kan tak suka makan nasi, Mama.” Husna mengingatkan Mamanya. Hmm, dia tahu tentang selera aku, fikir Zahrain. No wonder, sejak kahwin ni, boleh bilang dengan jari berapa kali dia masak nasi untuk aku. Meresap rasa bahagia di hatinya bila mendapat tahu yang si isteri mengambil tahu tentang apa seleranya.

“Mama nak cuba Caesar salad tu, Una,” minta Puan Sri Maimun.

“Amboi, sedapnya. Apa yang Una letak dalam salad ni?” tanya si ibu mertua.

“Biji bung matahari?” tebak Zahrain.

“Tak de, Bang, Caesar salad tak ada biji bunga matahari. Ada secret ingredient lain,” jawab Husna tersipu-sipu.

“Secret ingredient apa, Una?” tanya Puan Sri Mai. Segan pula Husna hendak beri tahu.

“Eh, kongsilah rahsia dengan Mama. Boleh Mama buatkan untuk Papa,” pujuk Puan Sri Mai. Husna memang tidak boleh “say no” kepada Mama kesayangannya, terus membuka peti ais dan mengeluarkan sebotol salad dressing yang diimport dari luar negara.

“Secret ingredient mengelat, Mama,” malu-malu Husna menyuakan botol salad dressing jenama Newman’s Own kegemarannya kepada si ibu mertua.

“Oh, selama ni masakan Sayang semua mengelat ye?” usik Zahrain.

“Eh, sampai hati tuduh kita macam tu,” Husna pura-pura berkecil hati.

“Abang mengusik saja, Sayang,” Zahrain memujuk sambil mencium jari-jari halus isterinya.

Lebar senyuman Puan Sri Maimun menyaksikan kasih sayang anak dan anak mertuanya. Semakin berselera rasanya untuk makan tengahari.

—-

“Hai pukul berapa balik dari lunch break, Bos?” perli Tan Sri Zainal bila terserempak dengan Zahrain yang terkocoh-kocoh masuk ke pejabat.

“Sejak ada isteri ini, makin panjang lunch break kamu ye?” sambung Tan Sri sambil berpura-pura marah.

“Saya balik lewat ni bukan sebab sibuk melayan isteri saya, Bos Besar. Sibuk melayan isteri Bos Besar sebenarnya.”

“Ha?”

“Mama datang makan tengah hari di rumah kami,” jelas Zahrain dengan senyum lebar.

“Amboi anak beranak dengan menantu makan, tak ajak Papa pun,” Tan Sri Zainal pura-pura merajuk.

“Itulah Papa, kerja-kerja juga, family pun penting tahu. Kesian Mama kesepian, bawa diri ke rumah kami!” Zahrain berjenaka dengan papanya.

“Amboi! Pandainya kamu kenakan Papa,” balas Tan Sri Zainal sambil tertawa kecil.

“Jangan merajuk Papa, Nawwal ajak Mama dan Papa makan malam di rumah kami malam ini.”

“Do I have a choice?” Tan Sri Zainal pura-pura jual mahal.

“Nope, Bos Lagi Besar dah approve,” pecah berderai ketawa dua beranak itu sambil berjalan masuk ke bilik mesyuarat.

Tan Sri Zainal tersenyum lebar, bahagia dia melihat Zahrain sekarang, tidak lagi merambu ramba dengan perempuan itu, perempuan ini. Keputusan Bos Lagi Besar memilih Husna sebagai menantu nampaknya satu keputusan yang terbaik. Sebab itulah dia Bos Lagi Besar!!

BAB 30

Sekali lagi Husna mengenakan kebaya nyonya ungu sulaman kerawang, kali ini untuk makan malam dengan ibu dan bapa mertuanya. Melihat Zahrain keluar dari bilik air, dia berputar, mendepakan kedua belah tangannya serta mengangkat kening. Zahrain yang bercekak pinggang, membelek susuk isterinya lalu menggeleng-gelengkan kepala.

“Kenapa? Teruk sangatkah baju kebaya ni?” Hairan sungguh Husna. Kenapa? Hodoh sangatkah bila dia berkebaya?

“You look too sexy in that,” jawab Zahrain, matanya mencerun memandang susuk si isteri.

Ternganga mulut Husna dibuatnya. Sexy?

“Abang, kainnya tak jaranglah,” protes Husna.

“It’s the cutting,” pendek saja jawapan Zahrain.

Hah? Cutting? Cutting apa? Tak fahamlah, Husna mengomel dalam hati.

“Alah, Papa and Mama saja. Bolehlah…” suaminya cuba dipujuk, teringin benar dia memakai kebaya nyonya buat kali pertama dalam hidupnya.

“Nope, final.”

Pinggang ramping isterinya yang mengocak jiwa hanya untuk tatapan dia seorang. Mama, Papa, sesiapa pun tidak boleh!

Geram Husna dibuatnya bila Zahrain sudah menggunakan kuasa vetonya. Kaki kanannya dihentak perlahan, bibir bawahnya sudah mula muncung.

“Stop doing that,” mata Zahrain mencerun lagi.

“What?” Cebik mulut Husna semakin panjang, geram dengan perangai bossy sang suami.

“This,” jawab Zahrain sambil bibir Husna dicubitnya lembut. Comelnya ya ampun! “We don’t have time for a tumble. Mama dan Papa sekejap lagi dah nak sampai.”

Tumble? Siapa nak tumble? Orang nak jamu mak dan bapa mertua makanlah. Dia tu yang siang malam nak “tumble,” ceceh Husna dalam hati, masih belum hilang geram. Abaya hitam bersulam suji bilang yang dibeli di Maghribi dikeluarkan dari almari. Cepat sahaja dia menyalin pakaian.

“Mr. Zahrain……… inspection time.” Sekali Husna mendepakan kedua belah tangannya.

“Perfect.”

“Perfect apa? Shapeless macam karung guni,” komplen Husna walau pun dia akui dia nampak berseri berabaya hitam itu.

“Thats the idea,” balas Zahrain sambil mengenyit mata.

“Humph!”

——

“Una! Cantiknya baju anak Mama. Beli di mana?” puji Puan Sri Maimun. Masuk sahaja ke dalam kondo anaknya terus terpandang menantu yang comel berjubah hitam bersulam suji bilang merah terang dan merah jambu.

“Beli di Morocco, Mama,” jawab Husna, berbunga-bunga senyuman bila dipuji. Tangan ibu dan bapa mertuanya dikucup.

“Oh, no wonder Mama tak pernah tengok jubah fesyen sebegini.”

“Ini abaya sulaman orang Bedoiun, Mama,” terang Husna kepada ibu mertua yang asyik membelek bajunya. Husna berkenan sungguh dengan abaya ini semasa merayau di sebuah souk di Marrakech sebab dia memang sukakan seni sulaman etnik.

“Masak apa, Husna? Wangi satu rumah. Perut Papa dah lapar tahu. Papa nak makan double sebab siang tadi Papa tak dijemput,” gurau Tan Sri Zainal dengan menantunya.

“Masakan kampung, Papa. Sorry Papa, tak jemput Papa lunch siang tadi. Unplanned lunch saja sebenarnya. Duduklah, Mama, Papa,” jemput Husna.

Dadanya berdebar-debar juga, kali pertama menjamu ibu dan bapa mertua makan. Harap-harap mereka suka masakannya. Susah juga dia memikirkan menu. Hendak masak masakan Barat mengikut selera suami, nanti apa pula kata mertua. Akhirnya, masak saja masakan kampung. Biarlah sekali sekala suaminya mengikut selera orang lain pula.

“Amboi, banyaknya lauk. Husna masak semua ini sendiri?” tanya Tan Sri Zainal sambil melihat lauk-lauk yang terhidang di atas meja. Gulai ikan kering tumis atas darat, kerabu taugeh dan kerang, sambal bacang, ikan kembong goreng, ikan pekasam goreng dari Lenggong, serta ulam-ulaman. Bimbang jika lauk-lauk tidak kena dengan selera mertua, Husna menambah udang masak sambal tumis.

“Masak ngelat-ngelat, Papa,” laju sahaja Zahrain mengusik isterinya.

“Abang ni teruklah! Penat Una masak tahu?” marah manja Husna sambil mencubit lengan suaminya.

“Haah, Zahrain. Kamu ni tak sayang isterikah? Kenapa tak dicarikan pembantu? Semua kerja rumah isteri kamu buat sendiri,” tegur Tan Sri Zainal. Anaknya itu bukan tidak mampu nak menggajikan pembantu.

“Alah, Papa. Kami pengantin baru, tentulah nakkan privacy,” jawab Zahrain sambil mengangkat kening.

“Tsk!” itu saja yang Husna mampu sebut sambil mencubit lengan suaminya sekali lagi. Teruk betullah mamat ni, cakap tu tapis-tapislah sedikit. Malunya Tuhan sahaja yang mengetahui, merah meruap rasanya muka Husna.

“Ha, ha, ha, ha,” ketawa besar Tan Sri sambil menepuk-nepuk bahu anaknya. “Baguslah, nanti cepat kami dapat cucu, kami dah tak sabar ni, kan Mama?”

Serba salah Puan Sri Maimun hendak mengiyakan kata suaminya. Kasihan dia melihat Husna yang sudah merah mukanya bagai udang kena panggang.

“Makan, Bang, nanti sejuk pula nasi,” itu sahaja yang mampu Puan Sri Maimun kata untuk menukar topik. Orang lelaki ni, baik tua, baik muda, kalau bercakap tentang topik “itu”, galak sekali!

Berselera sekali ibu dan bapa mertua Husna makan. Husna pula yang bagai tidak jadi makan, sibuk melayan mereka. Zahrain pun tidak begitu laju makan, habis dah tak gemar masakan Melayu, nak buat bagaimana? Bila suaminya menghulur tangan mahu mencedok kerabu taugeh dan kerang, baru Husna teringat!

“Abang, Abang, kejap-kejap Bang. Yang Abang punya ada di dapur, Una lupa nak bawa ke depan!”

“Hm?” hairan Zahrain, terhenti dia dari menyenduk kerabu ke dalam pinggan nasinya.

Husna terkocoh-kocoh ke dapur dan kembali dengan semangkuk lagi kerabu taugeh dan kerang. Kerabu dari mangkuk yang baru diambilnya disendukkan ke dalam pinggan nasi suaminya.

“Wah! Seperti biasa, untuk suami ada versi lain ye Una? Yang ini pun ada secret ingredientkah?” usik ibu mertuanya.

“Ha ah, Mama. Ini versi khas untuk Abang. Tak ada booby trap,” jawab Husna sambil tersenyum nakal.

“Booby trap apa, Husna?” tanya Tan Sri Zainal dengan dahi sedikit berkerut.

“Cili padi,” jawab Husna sambil tertawa kecil. Lalu meletus ketawa besar kedua ibu dan bapa mertuanya.

“So kalau Abang nak makan kerabu, Abang makan yang dalam mangkuk ni,” Husna memberitahu Zahrain.

“Haah, yang tak ada “booby trap,” safe for you,” Tan Sri Zainal mengusik anaknya. Melayu apa, cili padi tak makan, sambal tak makan. Silap juga menghantar Zahrain ke grammar school di Australia pada usia sepuluh tahun.

“Eh sejak bila pulak Papa bersekongkol dengan bini aku nih. Ish Mama, Papa ni, siapa anak, siapa menantu?” terbit sedikit cemburu di hati Zahrain melihat kemesraan ibu bapanya bersama Husna. Dek kerana hendak menunjuk macho, kerabu yang ada “booby trap” dicedoknya juga.

“Abang! Pedaslah. Nanti Abang tak tahan!” tegur Husna.

Betul bagai disebut oleh isterinya, baru saja kerabu taugeh itu masuk ke dalam mulut Zahrain, pedasnya terasa bagai renjatan elektrik. Diakan sudah bertahun-tahun tidak makan makanan pedas.

“Air! Air! Air!” itu sahaja yang mampu disebutnya.

Husna segera menghulurkan segelas demi segelas air laici timun kepada Zahrain. Habis dua gelas diminumnya.

“Inilah yang dikatakan orang tua-tua, siapa yang makan cili, dialah yang terasa pedas,” Tan Sri Zainal mengusik anaknya. Kasihan Mat Salleh celup seorang ini, nak tunjuk macho depan isteri konon!

Muncung juga mulut Zahrain bila mendengar usikan Papanya.

“Stop doing that,” Husna mencerunkan mata ke arah Zahrain.

“What?” tanya suaminya.

“This,” jawab Husna sambil mencubit lembut bibir Zahrain.

Tersenyum lebar Zahrain dengan perbuatan Husna. Oh, pandai balas dendam isteri aku ni, fikirnya. Jari-jari Husna dicium-cium tanpa segan silu di hadapan ibu bapanya yang sudah tersenyum lebar melihat aksi romantik anak dan menantu.

“Sedapnya sambal kamu ni, Husna. Kamu tak nak cuba Zahrain?” Tak habis lagi Tan Sri Zainal menyakat anaknya.

“Papa ni, buat-buat tanya pula,” kata Zahrain dalam hati. “Eh, kalau macam ni aku kena belajar makan masakan pedaslah!”

“Dah lama sungguh Papa tak makan sambal bacang. Mai, sekali sekala suruhlah Melah buatkan,” pinta Tan Sri Zainal kepada isterinya. Puan Sri Maimun diam sahaja sebab dia memang tidak pandai membuat sambal.

“Rezeki Papalah tu. Jarang juga jumpa bacang di pasar. Tup-tup hari Isnin lepas terjumpa, terus Una beli.”

“Una beli bacang buat apa? Zahrain kan tak makan sambal?” tanya Puan Sri Maimun.

“Kalau tak dibuat sambal, makan macam tu je pun sedap,” jawab Una.

“Eh, masamlah Una, buat sambal saja yang sedap,” balas Mamanya.

“Beli buah masam-masam ni, ada apa-apa ke Husna?” Papa pula mengusik.

“Eh, tak ada apa-apalah, Papa,” sekali lagi muka Husna sudah kemerah-merahan.

“Kalau ada apa-apa pun, apa salahnya, Husna. It will make us very, very happy!” kata Papa dengan ketawa kuat.

“Don’t worry, Papa. We are working very hard to make you happy,” sambut Zahrain sambil tersenyum lebar.

“Eee, mengadanya mamat poyo nih,” kata Husna cuma dalam hati sajalah. Malu! Mukanya tunduk memandang lauk di pinggannya.

—-

Usai makan malam, mereka bersolat Isya berjemaah, diimamkan Zahrain. Bahagia yang dirasakan oleh Tan Sri Zainal dan Puan Sri Maimun semasa bersolat dengan anak menantu tiada tolok bandingnya. Not with their million dollars, not with all the properties they have around the world. Rasanya sudah lengkap tanggung jawab mereka sebagai ibu bapa kepada Zahrain.

Sesudah mengemaskan sejadah dan telekung, Husna menghidangkan pencuci mulut. Kek lobak, buah-buahan, badam, kekacang dan kopi. Kopi dituangkan ke dalam cawan untuk Papa dan Zahrain.

“Minum, Pa. Kopi Nawwal ni sedap sangat, kalah kopi Starbucks,” puji Zahrain. Meleret-leret senyuman Husna bila mendengar pujian suaminya.

“Mama, kejap Una buatkan teh ye. Air panas dah ada tu. Earl Grey ok, Mama?” tanya Husna kepada Mamanya yang tidak gemarkan kopi.

“Do you have something lighter dear?” tanya Puan Sri Maimun.

“Darjeeling?” cadang Husna. Puan Sri Maimun mengangguk-angguk setuju.

Setengah kek lobak Husna habis dimakan, diselang seli dengan buah dan kekacang. Macam-macam topik yang dibualkan, termasuklah projek buku masakan Najla Huda. Nawwal Husna bukan calang-calang wanita muda, fikir Tan Sri Zainal. Rumah tangga diselia jaya, masih lagi sempat buat projek istimewa. Bertuah betul Zahrain mendapat isteri yang sempurna begini.

Hampir tengah malam baru Tan Sri Zainal dan isteri beransur pulang. Beriya-iya Husna mengajak ibu dan bapa mertuanya tidur di rumahnya sahaja, ditolak lembut oleh mereka dengan alasan bukan jauh pun rumah mereka. Baki kek lobak yang dipuji-puji oleh kedua-dua mertua dimasukkan ke dalam bekas untuk mereka bawa pulang. Janji dibuat untuk makan malam di rumah ibu dan bapa mertua pula kerana Husna diminta untuk menyediakan ikan bakar cecah air asam. Hendak bakar ikan di kondo, bimbang berbunyi pula fire alarm.

Husna suami isteri mengiringi mereka sehingga ke kereta di tingkat bawah. Cekap sahaja Pak Derus membuka pintu kereta bila majikannya tiba. Husna dan Mamanya berpeluk-peluk, cium pipi kiri kanan sebelum Mamanya masuk ke dalam kereta.

Tan Sri Zainal yang memandang adegan manja anak dan ibu mertua itu berkata dengan senyum lebar, “Tepat sungguh pilihan Mama kamu. Alhamdulillah kami dapat menantu yang terbaik dan kamu mendapat rumahtangga yang bahagia.”

Zahrain yang sepanjang malam tersenyum dan ketawa, berubah air muka tanpa disedari Papanya. Menantu pilihan Mama, bukan isteri pilihan hatinya. Serta merta tersedar yang dia sudah terlupa dengan Projek A, B dan C yang dirancang sejak sebelum berkahwin dengan budak cengeng itu. Humph! Projek apa? Budak cengeng itu pun sudah menjadi bidadari syurganya setiap siang dan malam. Nampaknya dia sudah kalah dengan “budak” itu. Timbul sedikit rasa kelat di hati. Sayang bini, sayang bini juga, tapi Zahrain Alimin memang tidak suka kalah!

“Papa balik dulu, thanks for the wonderful dinner. Seronok sungguh berkumpul makan bersama-sama kita satu keluarga. Nanti Zahra balik bercuti, kita mesti dinner bersama-sama, suruh isteri kamu masak! Lucky you, to have her cooking for you everyday,” panjang ucapan terima kasih Tan Sri Zainal kepada anaknya. Bahu anaknya ditepuk-tepuk.

“Bye, Papa. Thanks for coming. It was wonderful having you two for dinner,” ujar Zahrain dengan senyuman terpaksa di bibir.

Sebelum masuk ke dalam kereta Tan Sri Zainal bersalam-salaman dengan menantunya. Diciumnya ubun-ubun si menantu. Sayangnya kepada menantu bagai sayang kepada anak sendiri.

Bergerak sahaja kereta mewah Tan Sri Zainal dari anjung kondo, Zahrain menonong-nonong berjalan ke arah lif untuk naik ke atas. Tercungap-cungap Husna mengejar suaminya. Dalam lif sembang Husna tidak bersambut, dia seorang sahaja menceceh-ceceh membuat review tentang masakannya.

Masuk ke dalam kondo, Husna bertanya, “Abang nak kopi lagi?”

“No, thanks,” jawab sang suami dengan nada dingin. Tanpa berpaling memandang si isteri, dia terus memanjat tangga ke atas.

“Whoa! Return of the iceberg monster,” bisik Husna. Apa kes ni? Sambil memegang dagu, Husna berfikir-fikir apa pula yang menyebabkan perangai ketul ais beku suaminya. Sudah berminggu-minggu hubungan mereka okey. Hmm, sebenarnya lebih dari okey, fikir Husna dengan senyuman lebar.

“Mmm, ini mesti something to do with Papa ni,” Husna membuat analisa. Turun lif okey lagi, lepas bye-bye dengan Mama dan Papa, terus tak okey. “ Apa ek Papa kata kat dia? Takkan komplen pasal aku?”

“Well, whatever! Dah nasib dapat suami berangin. Apa petua Master-ji ek, menangani angin suami? Lingerie?” Bibir Husna sudah tersenyum nakal.

“I got it,” jerit kecil Husna sambil memetik jari. Dia mula berlari-lari kecil memanjat tangga, kepalanya berputar-putar membuat rancangan. Ada surprise untuk mamat ketul ais beku itu. Keluar dia dari bilik air selepas gosok gigi, si isteri akan menunggu dengan memakai kebaya!! Meh kita tengok, cair tak ketul ais itu? Mengekek-ngekek ketawa Husna. Tak sangka, proses mencairkan ais beku ini fun juga ya!

BAB 31

Husna bernyanyi-nyanyi kecil sambil melangkah ke arah sebuah restoran berhampiran kondonya. Entah apalah yang dimahukan Atai. Dia menghantar SMS tadi, “Need to see you, urgent, pls.”

Bukan dia patut di pejabat ke? Kerja baru nak masuk minggu kedua sudah pandai ponteng. Agaknya dia ada masalah keluarga, masalah kewangan? Maklumlah Atai anak sulung, besar tanggung jawabnya, kerja pun baru lagi, tabungan pun tidak ada. Sebab banyak merayau ke Eropah, Husna tahu.

Belum sampai ke restoran yang hanya selang dua pintu dari kondonya, masuk pula SMS dari Zahrain, “wru?” Wah dah pandai pakai bahasa SMS suami aku ni, Husna tersenyum sendirian.

“otw 2 d nook, mtg atai n pet.” The Nook itu nama restoran tempat dia berjanji nak bertemu Atai. Selalunya kalau ada Atai, tentulah ada Pet. Dah macam nak jadi kembar Siamlah pulak mereka! Zahrain pula baru saja masuk balik ke pejabat sebab hari Jumaat, lunch breaknya panjang.

Sampai di retoran itu, Husna cuma nampak Atai.

“Mana Pet?” itu yang dia tanya dulu.

“Aku je. Benda yang aku nak bincang ni tak boleh ada Pet,” jawab Atai sugul.

Wah! Suspennya! Apa kes ini? Dia orang bergaduhkah?

“Spill,” arah Husna, sambil matanya tidak lekang dari muka Atai. Lama Atai diam, sampaikan Husna rasa nak cekik-cekik mamat di depannya itu. “Sajalah tu, nak bagi aku suspen tu,” cemuh Husna.

Malas menunggu Atai membuka mulut, Husna memesan jus mangga. Sempat pula Atai memesan air teh o limau.

“Naaa…..,” lembik, lanjut saja suara Atai.

“Yaaa…..apa?” Mencabar kesabaran betul budak Gemencheh ni!

“Pet……”

Dah Pet pulak? Apa jadi dengan Pet?

“Ko nak cakap ke, ko nak aku cekik ko jam-jam ni juga?” Geramnya aku! Getus Husna dalam hati.

“Pet……dia nak peluk Islam,” pelan saja Atai buat kenyataan. Terpaku Husna dibuatnya!

“Ya Allah! Alhamdulillah! Syukur, syukur, Allah berikan hidayah kepada kawan baik kita,” tak berhenti-henti Husna bersyukur. Dia sayangkan Pet macam dia sayangkan kakak-kakaknya.

Aik! Kenapa pula sedih semacam si Atai ni? Berita gembira macam ni, dia pulak macam ayam berak kapur?

“Eh, Tai! Pet nak peluk Islam, apasal pulak kau sedih semacam?” wajah Atai ditenungnya dalam-dalam.

“Naaa……”

“Yaaa……apa?” Bercakap dengan budak Atai ni, rasa macam naik merry-go-round la pulak, berputar-putar.

“Pet……”

“Yelah Atai, kita sedang cakap pasal Petlah ni!” Budak ni aku simbah dengan jus mangga, baru tahu, Husna sudah berkira-kira dalam hati.

“Dia ajak aku kahwin,” sekali lagi perlahan sahaja Atai membuat kenyataan.

Sekali lagi terpaku Husna dibuatnya! Aik? Bila masa pula mereka bercinta? Masa trip ke Scandinaviakah? Walaupun terkejut, terbit juga senyum meleret di bibir Husna.

“Eh, Tai! Pet ajak kau kahwin, apasal pulak kau sedih semacam?” mendatar saja suara Husna. Lepas itu, jenuh dia menggumam bibirnya menahan ketawa.

“Kau ketawakan aku ye Una? Mentang-mentanglah aku anak orang miskinkan, mana nak padan dengan Pet. Separuh Sabah tu keluarga dia punya,” sedih benar suara Atai.

Alahai, mamat ni. Buat babak ala-ala Neng Yatimahlah pulak.

“Ko ni Tai, macam tak kenal aku. Kaya, miskin, apa aku kisah. Aku nak tergelak sebab cutelah kalau kau jadi dengan Pet,” terlepas juga sedikit tawa kecil dari bibir Husna.

“Eh, kau ingat tak hari tu kat rumah aku, kan dia kata dia ada calon suami yang akan benarkan dia merayau serata alam, sekali angkut anak-anak. Weh, Tai, calon yang dimaksudkan tu kau ye?” mencerun mata Husna cuba memahami kata-kata Pet hari itu.

“Atai and Pet. Pet and Atai….” pelik juga bila best friends bertukar jadi pasangan bercinta. Tapi apa salahnya, moga-moga Atai dapat membimbing Pet menjadi muslimah yang solehah.

“Na….ko ni…,” lemah saja tutur Atai.

“Apasal Tai?”

“Na, aku tak tahulah…”

“Tak tahu apa?” rimas betul tengok Atai lembik begini.

“Aku tak tahulah, betul ke Pet ikhlas nak peluk Islam. Betul ke ikhlas dia nak kahwin dengan aku,” sambung Atai.

“Eh, kenapa kau cakap macam tu, Atai? Bukan kau tak tahu Pet. Dia tu apa di hatinya, itulah yang tersembul di mulut. Dia tu kan straight forward punya orang?” hairan Husna bila Atai jadi sangsi dengan Pet.

“Kau bukan tak tahu, keluarga dia bukan main bising suruh dia balik ke Sabah, jaga ladang mereka yang luas macam laut tu. Pet kan nak jadi travel photographer. Terlintas juga di benak aku ni, entah-entah si Pet ni nak kahwin dengan aku sebab dia nak lepaskan diri dari keluarganya tak?”

“Eh, Tai. Tak baik kau buruk sangka dengan dia macam tu,” sanggah Husna.

“Kau tak hairan ke Una? Anak orang kaya macam dia, apalah yang dia nampak pada aku? Aku tak boleh beri kemewahan kepada dia, macam bapa dia dia beri kepada dia selama ini.”

Sedih betul hati Husna mendengar Atai cakap begini. Dia faham latar belakang keluarga Atai, ibunya ibu tunggal, membesarkan 4 orang anak sendirian dengan hanya mengambil upah menoreh getah di kebun orang. Atai setiap bulan menghantar duit dari UK kepada emaknya. Sebab itulah Husna, Em dan Pet tidak pernah kedekut berkongsi makanan dengan dia.

“Atai, kau ni wonderful sangat, kau tahu? Bertuahlah perempuan yang dapat jadi isteri kau. Aku cakap betul-betul tahu. Apalah kau nak merendah diri sebab miskin. Kebahagiaan hidup bukan dijamin oleh wang ringgit,” Bersungguh-sungguh Husna cuba meyakinkan sahabat baiknya.

Usai bercakap, melayang fikiran Husna kepada perkahwinannya sendiri. Macam telur dihujung tanduk. Sekarang ni memanglah dia dan Zahrain okey, tapi dia tidak pasti samada suaminya sudah putus dengan si supermodel itu. Entah kalau putus pun dengan supermodel itu, berpuluh-puluh lagi perempuan lain yang sanggup hendak menjadi isteri nombor dua atau tiga suaminya. Inilah risikonya berkahwin dengan lelaki kaya raya.

“Kalau iya pun dia betul-betul nak kahwin dengan aku, mampukah aku nak bimbing dia jadi muslimah yang baik?”

“Tai, kenapalah kau ni banyak sangat rasa sangsi. Rezeki, jodoh, semuanya kan di tangan Tuhan. Take it one step at a time lah. First thing, ajak Pet ambil kelas ugama. Kalau dia yakin betul-betul nak peluk Islam, kita satu geng permudahkan untuknya. Pasal hubungan korang berdua pun, take it one step at a time too. Kali ni perlu kenal hati budi sebagai bakal pasangan bukan best friends lagi. Kalau rasa yakin ada cinta, kahwinlah. Kalau tidak, tetap saja sebagai kawan baik.”

Atai mengacau-ngacau minumannya dengan penyedut minuman. Lama juga dia berfikir tentang nasihat Husna.

“Na, sejak kau kahwin ni kan, makin mantaplah nasihat kau,” puji kawan baiknya itu.

Berdekah-dekah ketawa Husna.

“Tarak ah, dari dulu lagi memang nasihat aku selalu mantap.” Eleh, Atai, isu kacang macam ini pun pening kepala. Kalau dia kena problem macam aku entah lagi teruk weng kepala budak ni.

“No wonderlah….”

“No wonder, apa Una?” tanya Atai kehairanan.

“Masa trip kita yang pertama dulu. Ingat tak, trip ke Amsterdam? Aku dengan Em mula-mulanya nak pergi bertiga saja. Si Petlah yang beria-ia nak ajak kau. Selamat sikitlah ada lelaki. Berempat senanglah nanti nak kongsi teksi. Macam-macamlah hujah dia. Rupanya dari dulu lagi dia minat kat kau agaknya Tai!” tebak Husna.

“Oo, idea diakah nak ajak aku dulu tu?” Wajah Atai berubah sedikit ceria.

“Haah, aku dengan Em bukannya setuju sangat. Dulukan kau poyo semacam. Dialah beria-ia. Lepas tu kan hari-hari yang kami bawa lunch share dengan kau dekat kampus tu, dialah yang rajin packkan untuk kau. Ish, macam manalah aku dengan Em tak perasan. Pandai si Pet sorokkan perasaan dia,” lebar senyuman Husna mengingatkan telatah Pet.

“Ko ingat dia suka kat aku dari dulu ye?” tanya Atai, tidak dapat lagi menyorokkan senyumannya yang meleret.

“Eeeee, sukalah tu. Kau pulak sejak bila sukakan dia?” Husna sudah menjadi penyiasat tidak berbayar.

“Eh, siapa kata aku suka kat dia?”

“Eleh, tu, tu, senyum meleret-leret, lagi tak nak ngaku. Maintain macholah konon tu.”

“Pasal aku macholah kawan kau tu minat kat aku, tahu?”

“Omigosh, omigosh, loya tekak aku dengar!” kutuk Husna sambil disambut deraian ketawa Atai.

Usik mengusik berterusan sambil Atai membayarkan minuman mereka, kemudian mereka berdua bergerak keluar dari restoran itu. Sambil bergerak, Husna mengeluarkan telefonnya. Segera dia mencari nombor telefon Pet. Ha, ha, aku nak mengusik dia, big time! Tak boleh lepas peluang ni, fikir Husna dengan senyuman nak mengena di bibirnya.

“Kau telefon siapa tu?” tanya Atai sambil cuba nak menjengok skrin telefon Husna.

“Menyibuklah kau, jauhlah!” halau Husna.

“Kau nak telefon Pet ye? Una, stop! Bawal Tuna! Kau jangan, malu aku weh!” Atai sudah separuh menjerit sambil cuba merampas telefon Husna.

“Atai, get off, phone akulah!” Husna cuba mengelak Atai yang menggagau-gagau hendak merampas telefonnya.

Sedang cuba melarikan telefonnya dari Atai, tiba-tiba Husna tersedar suaminya sudah berdiri di hadapan mereka dengan wajah masam mencuka.

“Eh, Abang! Dari mana? Bukan tadi Abang balik ke pejabat ke?” tanya Husna kehairanan. Atai yang baru tersedar, terlopong terkejut.

“Memang jelas sangatlah, awak fikir saya di pejabatkan?” perlahan sahaja kenyataan Zahrain. Dia terus berpusing dan melangkah pergi.

Husna dan Atai memandang Zahrain yang laju meninggalkan mereka dengan mulut yang ternganga.

0 comments:

Post a Comment

WITGET PING BUSUK